Saturday, 13 December 2014

tips untuk bercakap di khalayak ramai dengan penuh keyakinan

TIPS : UNTUK BERCAKAP DI KHALAYAK RAMAI DENGAN PENUH KEYAKINAN


Tip #1
Berdiri di depan sebuah cermin yang paling besar di rumah anda. Dan cermin itu boleh lihat seluruh tubuh anda, dari hujung rambut hingga hujung kaki. Kemudian, pejamkan mata anda. Tenangkan fikiran, tarik nafas panjang beberapa kali.
Bayangkan, anda sedang berdiri di dalam sebuah dewan, di depan 1200 orang. Semua orang di dewan itu sedang memerhatikan anda. Suasana agak sunyi kerana semua orang sedang menunggu anda sedang bercakap.
Cuba anda sedari, apakah perasaan anda ketika itu? Cuba sedari, adakah anda rasa lutut anda lemah? Adakah anda rasa perut anda memulas? Adakah anda rasa jari anda mula menggeletar?
Anda perlu bayangkan situasi berada di dalam dewan tadi dengan jelas. Jika anda tidak lakukan dengan serius, anda tidak akan tahu apa yang anda rasa, dan anda tidak akan tahu bagaimana cara untuk memajukan diri anda.
Tip #2
Untuk bercakap dengan yakin di depan orang ramai, anda perlu berdiri seperti orang yang merasa benar-benar yakin. Juga, jangan berdiri seperti orang yang sedang berdebar dan gementar.
Tip #3
Buka mata anda dan lihat disekeliling anda. Cari peluang melihat orang professional berucap. Perhatikan cara mereka. Anda boleh lihat cara orang berucap di televisyen. Anda boleh lihat di sekolah. Jika sudah bekerja, anda boleh melihat di tempat kerja atau di tempat anda berkursus.
Semasa memerhatikan mereka berucap, bayangkan anda sedang berucap seperti mereka. Ini sangat penting! Bayangkan yang anda sedang berucap dengan hebat seperti mereka.


Tip #4
Setelah anda tahu bahawa cara anda bernafas akan mempengaruhi apa yang anda rasa, anda perlu belajar cara bernafas yang boleh membuat anda rasa lebih tenang. Secara mudahnya, anda akan merasa tenang jika anda menarik nafas panjang.
Cuba latihan ini, tarik nafas anda selama 7 saat perlahan-lahan….. kemudian, tahan nafas anda selama 7 saat….dan lepaskan nafas anda perlahan-lahan selama 7 saat juga…… di masa yang sama, kosongkan fikiran anda. Maksudnya, jangan fikir tentang apa-apa….. cuba beberapa kali.
Jadi, setiap kali anda mahu bercakap dikhalayak ramai, mulakan dengan menarik nafas yang dalam dan panjang. Perhatikan juga cara anda bernafas semasa anda berucap. JIka anda rasa gugup semasa berucap, perbetulkan cara anda bernafas. Anda akan berucap dengan lebih baik. Perhatikan juga kelajuan anda bercakap. Jika anda bercakap terlalu laju, mungkin anda juga sedang bernafas dengan laju. Jadi, perlahankan. Kawal semula pernafasan anda dan tingkatkan rasa keyakinan diri anda semasa berucap.
Tip #5
Tips yang seterusnya ialah, keluarkan suara anda ketika anda sedang bercakap dikhalayak ramai.
 Sebenarnya, jika anda rasa berdebar dan gementar sewaktu berada di khalayak ramai, anda mungkin tidak akan mengeluarkan suara anda dengan betul. Maksudnya, anda akan bercakap dengan suara yang perlahan. Ini disebabkan anda merasa kurang yakin dengan diri anda dan anda risau jika anda membuat kesilapan semasa anda sedang bercakap.

Tip #6
Tips ini saya nak suruh anda buat sesuatu yang pelik sedikit. Saya mahu anda cari sebatang pokok (yang hidup atau mati, yang besar atau kecil.)
Berdiri mengadap pokok tersebut…. dan…. cuba bercakap dengan pokok tersebut……
Cuba bercakap dengan nada yang menarik, naik dan turun….. cuba buat memek muka yang menarik…. adakah anda rasa malu jika anda lakukan perkara tersebut.
(Tips: jangan lakukan perkara ini apabila ada orang disekeliling anda. Nanti orang ingat anda gila…   )
Tip #7
Soalan utama saya untuk tips semalam…… apakah perasaan anda bila bercakap dengan sesuatu yang tidak memberi reaksi atau maklum balas kepada anda?
Walau sehebat mana pun ucapan anda, anda pasti rasa bosan dan tidak selesa jika bercakap dengan sesuatu yang tidak memberi reaksi kan?
Mesej saya disini ialah, walaupun anda mungkin tidak akan bercakap dengan pokok, anda mungkin bercakap dikhalayak ramai seperti anda anda sedang bercakap dengan pokok! Bagaimana pula?
Apabila anda bercakap dikhalayak ramai, jika anda seorang sahaja yang bercakap tanpa maklum balas dan reaksi daripada penonton, anda umpama bercakap dengan pokok. ia juga dinamakan bercakap satu hala.

Tip #8
Untuk menarik perhatian pendengar,anda boleh fikirkan tentang satu fakta menarik dan anda mulakan ucapan anda dengan soalan berkenaan fakta itu.
Jadi, sebelum memulakan ucapan anda, baca buku, majalah, artikel atau apa-apa bahan bacaan menarik yang boleh dikongsikan bersama pendengar anda. Kongsikan fakta tersebut dalam bentuk soalan yang menarik.
Tip #9
Tips untuk bercakap dikhalayak ramai yang seterusnya ialah kawal pergerakan anda. Jika anda perhatikan, seseorang yang sedang bercakap dikhalayak ramai mempunyai banyak gaya pergerakan. Namun, anda boleh tahu sama ada pergerakan itu menunjukkan beliau sedang berdebar atau rasa tidak yakin.
Jadi, mulai sekarang, perhatikan pergerakan anda semasa berucap. Anda akan sedar mana-mana pergerakan yang tidak kena dan tidak sesuai dengan mesej yang anda cuba sampaikan. Apabila anda sedar akan pergerakan ini, anda akan rasa lebih mudah untuk menghentikannya.

Tip #10
Tips untuk hari ini ialah, bayangkan kesudahan yang menggembirakan. Walau sebelum anda mula berucap, di minda anda sudah bermain bermacam-macam fikiran mengenai ucapan anda itu. Adakah pendengar akan suka ucapan anda? Adakah anda akan kelihatan bodoh di hadapan orang ramai?Jadi berhenti memikirkan perkara yang negatif.Anda hanya perlu memikirkan perkara yang positif sahaja.
Tip #11
Ini adalah tips terakhir yang akan saya kongsikan berkenaan bercakap dikhalayak ramai. Tips hari ini ialah, berlakon seolah-olah anda sudah berpengalaman bercakap di depan khalayak ramai dan berlakon seolah-olah anda sangat yakin untuk berucap..
Selamat mencuba.
Tahniah!!
Tahniah kerana anda telah membaca kesemua tips-tips untuk bercakap dikhalayak ramai.
Jangan risau jika anda masih merasa berdebar dan takut semasa hendak bercakap di khalayak ramai. Perasaan itu adalah normal. Saya ucapkan selamat mencuba dan selamat berjaya!

No comments:

Post a Comment